Tumpuan :
Nasional

LifeTech, Kyndryl lancar SOC awan awam pertama negara

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan keselamatan siber terkemuka Asia Tenggara yang berpangkalan di Malaysia, LifeTech Group (LifeTech), memeterai kerjasama dengan Kyndryl, penyedia perkhidmatan infrastruktur Sistem Teknologi Maklumat (IT) terbesar di dunia.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LifeTech Group, Datuk KK Loh, berkata kerjasama itu membabitkan penubuhan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) Awan Awam pertama di Malaysia bagi menangani ancaman siber yang semakin kompleks.

“Kerjasama ini adalah langkah penting dalam memperkukuh keupayaan kami melindungi organisasi di Malaysia, sambil memastikan data kritikal kekal dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani kerjasama antara Kyndryl dan LifeTech Group di ibu negara, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kyndryl Malaysia dan Indonesia, Effendi Azmi Hashim, berkata SOC berkenaan akan menggunakan platform bersepadu generasi baharu bertaraf dunia.

“Dengan mentransformasikan Pusat Operasi Keselamatan kami menerusi platform baharu ini, pelanggan dari pelbagai industri, termasuk Infrastruktur Maklumat Negara Kritikal, dapat meningkatkan daya tahan siber, bertindak balas pantas terhadap ancaman serta mengurus keselamatan dengan lebih cekap dan kos efektif.

“Kerjasama ini mencerminkan visi bersama untuk menyediakan penyelesaian keselamatan siber yang inovatif, berskala dan berdaya tahan, bagi melindungi data serta aplikasi perniagaan kritikal dalam infrastruktur keselamatan yang kukuh menggunakan awan tempatan,” katanya.

Platform SOC generasi baharu itu turut dilengkapi dengan Perisikan dan Automasi Keselamatan Kyndryl bagi meningkatkan kecekapan pengesanan dan tindak balas terhadap ancaman siber di rantau ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini