Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kelewatan kerja-kerja penggantian lif baharu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di sini, menyebabkan ramai penduduk terus terbeban.
Malah lebih 170 orang kelainan upaya (OKU) yang menetap di PPR berkenaan juga terpaksa berdepan detik sukar, yang berlarutan selama 16 hari tanpa kemudahan lif.
Penduduk merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendengar rintihan mereka, selain membantu menyelesaikan isu kelewatan penggantian lif berkenaan.
Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Hussein Zulkarai berkata, masalah itu juga menyebabkan sebilangan penduduk sukar menjalani kehidupan harian dengan sempurna.
Dakwanya ada juga golongan ibu mengandung yang tidak dapat hadir ke fasiliti kesihatan untuk melakukan pemeriksaan yang dijadualkan.
“Kita mohon campur tangan Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, kalau boleh turun, turunlah, luangkan sedikit masa turun padang lihat sendiri bagaimana budak-budak sekolah nak naik dan turun tangga.
“Bagaimana pula dengan golongan OKU yang menggunakan kerusi roda, bagaimana mereka hendak naik dan turun.
“Ada juga ibu-ibu mengandung yang sepatutnya bersama kami hari ini tapi mereka tak dapat turun sebab mereka mengandung, ada yang nak buat pemeriksaan (kesihatan) pun tak boleh,” katanya.
Selain itu, Naib Presiden Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat, Affa Syaripuddin meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan syarikat kontraktor yang dilantik untuk menyiapkan projek berkenaan yang sepatutnya dijadualkan 15 November lalu.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang berkata, perbincangan dan rundingan dengan pihak terbabit telah dilakukan, namun masih tiada penyelesaian.
Tambahnya, isu itu telah dibawa ke pejabat Ahli Parlimen kawasan berkenaan, namun tidak dapat diselesaikan.
“Kami ingin mendesak campur tangan YAB, tolonglah YAB kami merayu, tengoklah wajah-wajah, anak-anak, adik-adik saya, ayah ibu saya yang menderita dan terkesan ini.
“Kami dah tak ada tempat untuk mengadu, walaupun berkali-kali ke depan pintu pejabat Ahli Parlimen sampai sekarang pun tiada sebarang penyelesaian,” rayunya.
PPR Desa Rejang mempunyai 12 blok dan 2,791 unit rumah dengan kepadatan penduduk mencecah 18,000 orang.
Sebanyak 38 lif di kawasan berkenaan menghadapi kelewatan penggantian oleh kontraktor yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ia merupakan kejiranan yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, OKU, kanak-kanak dan golongan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang bergantung kepada kemudahan asas itu untuk menjalankan aktiviti harian.
Sebelum ini tular satu video di media sosial mengenai detik cemas dihadapi penduduk apabila lif di Blok D perumahan berkenaan terhempas dari tingkat 9.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.