comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] LHDN, JKDM lepasi sasaran kutipan – Anwar

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kutipan hasil negara di dua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan (MoF) tahun lalu melepasi sasaran yang ditetapkan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip sebanyak RM183 bilion, manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengutip hasil mencecah RM55 bilion.

“Terima kasih kepada Kastam akhirnya dapat memenuhi unjuran yang tidak selalu dicapai. Kalau Kastam memang (kutipan) lebih daripada diunjurkan,” katanya pada perhimpunan warga MoF bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Sebelum ini, media melaporkan, LHDN menyasarkan kutipan cukai RM176 bilion pada tahun lalu, selepas merekod kutipan RM175.4 bilion pada 2022.

Sementara itu, JKDM pula menyasarkan kutipan cukai berjumlah RM53 bilion pada tahun lalu, apabila memungut cukai sebanyak RM53.5 bilion sepanjang 2022.

Beliau pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana mengutip hasil tertinggi, namun tidak menyebut angka berkenaan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengurangkan pelaburan di luar negara dan memberi fokus kepada pelaburan domestik.

“Apa kemunasabahan kita mengadakan kempen menarik pelaburan asing ke Malaysia kalau syarikat utama kita tidak ada keupayaan untuk memastikan jenis pelaburan yang menarik dan memberi keuntungan.

“Kita harus beri kelonggaran (pelaburan luar negara), kita akan bincang sekali lagi sama ada 20 atau 25 peratus, saya belum pasti tetapi tentu ada tanggungjawab untuk sama-sama memikirkan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam negara,” katanya.

Beliau turut meminta Unit Pantau MADANI, GLC dan GLIC untuk berinteraksi secara langsung dengan pimpinan untuk memastikan pelaksanaan program mengikut dasar ditentukan.

Loading...
Terkini