SEOUL: Gergasi elektronik Korea Selatan, LG, kini meneroka peluang baharu bagi platform webOS yang dibangunkan oleh syarikat itu, selepas lebih 10 tahun diintegrasikan ke dalam sistem televisyen pintarnya.
Mula diperoleh oleh LG pada tahun 2014, webOS kini telah berkembang menjadi salah satu perniagaan utama syarikat itu, sekaligus mencerminkan transformasi LG daripada pengeluar peralatan rumah kepada penyedia penyelesaian digital.
Menurut Matthew Durgin, Naib Presiden Kandungan & Perkhidmatan di LG Electronics, webOS memainkan peranan penting dalam peralihan syarikat itu daripada sebuah syarikat yang tertumpu pada media tradisional kepada sebuah syarikat yang mempelopori sektor penstriman digital.
“Pasaran pengiklanan TV yang saling berhubung (connected TV advertising) yang bernilai AS$21 bilion pada 2021, dijangka berkembang kepada AS$65 bilion menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 21%,” katanya kepada media semasa sesi lawatan ‘LG Global Media Tour 2024’ yang diadakan di Seoul baru-baru ini.
Durgin menjelaskan bahawa webOS yang semakin berkembang pesat kini sedia diakses pada lebih 220 juta unit TV pintar di seluruh dunia. LG mensasarkan untuk meningkatkan jumlah ini kepada 300 juta unit dalam tempoh tiga tahun, didorong oleh kerjasama dengan lebih 4,000 penyedia kandungan global.
Selain kegunaannya pada TV pintar, webOS juga mula bercambah ke bidang lain seperti sistem hiburan automotif dan papan tanda digital, sekaligus memperkukuh evolusi LG menjadi sebuah syarikat yang meneraju dalam sektor media dan hiburan.
Pada Sidang Kemuncak webOS 2024 di Korea, LG mengumumkan rancangannya untuk melabur sejumlah AS$740 juta bagi meningkatkan webOS dan perkhidmatan berkaitan, bagi meningkatkan daya saingnya di pasaran global.
Platform itu kini memuatkan lebih 4,500 aplikasi, termasuk platform permainan awan terkenal dunia. LG juga bekerjasama dengan beberapa syarikat lain untuk mengoptimumkan pengalaman permainan video dengan penggunaan teknologi Bluetooth Ultra-Low Latency (BT ULL).
Pada Sidang Kemuncak webOS ini, Frank Lee, Pengurus Kanan Pemasaran PR, Komunikasi Jenama LG Home Entertainment, menunjukkan kepada para media dengan lebih dekat apa yang bakal ditawarkan oleh platform webOS kepada pengguna. Antara yang menarik, termasuk demonstrasi permainan video yang menggunakan teknologi BT ULL, menjadikan permainan video lebih pantas dan mengurangkan risiko masa tertunda ketika bermain dengan rakan di atas talian.
Selain itu, penggunaan TV pintar juga kini menjadi lebih mudah dengan arahan suara (voice command) di mana pengguna boleh mengubah tetapan pada televisyen termasuk kekuatan bunyi atau kecerahan skrin hanya dengan menggunakan suara untuk memberi arahan berkenaan.
Selain itu, LG sedang berusaha memperluaskan fungsi e-dagang webOS dengan ciri seperti webOS Pay yang membolehkan pengguna membeli kandungan dan perkhidmatan dengan lebih mudah dan pantas.
Syarikat LG terus memperkukuh ekosistem webOS untuk meletakkannya sebagai platform utama bagi memperlihatkan inovasi yang dipacu oleh AI. Dengan komitmen berterusan terhadap inovasi, LG Electronics bersedia untuk memperluaskan pengaruhnya dalam sektor hiburan dan pengiklanan global.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.