KOTA KINABALU: Susulan kejadian letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan belum ada keperluan untuk rakyat Sabah memakai pelitup muka buat masa ini.
Menurut Pengarahnya Datuk Dr Asits Sanna pihaknya telah menjalankan penilaian risiko namun penduduk Sabah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda atau gejala pernafasan.
“Jabatan ini juga memantau penyakit berkaitan jerebu seperti jangkitan saluran pernafasan atas, asma, dan juga penyakit konjunktivitis di beberapa klinik kesihatan dan hospital sentinel di negeri Sabah.
“Justeru, JKNS menasihati orang ramai untuk mengikuti laporan status kualiti udara yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitarhttps://apims.doe.gov.my/home.html dan mengambil tindakan kesihatan berpandukan IPU di kawasan masing-masing.
“JKNS sentiasa memantau persekitaran akibat kejadian letusan gunungberapi ini serta kejadian penyakit akibat pencemaran udara.
“Sebarang perubahan status pencemaran udara akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya setakat ini Gunung Ruang dilaporkan telah meletus sebanyak enam kali dengan asap letusan berwarna kelabu hingga hitam dengan ketinggian sekitar 3,000 meter (9,843 kaki) diperhatikan di atas puncak, disertai dengan bunyi deruan dan gempa bumi.
“Beberapa lokasi di kepulauan berdekatan telah mengalami hujan abu gunung berapi.
“Letusan gunung berapi boleh membebaskan zarah berbahaya seperti abu serta gas karbon dioksida (CO2) dan sulfur dioksida (SO2).
“Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan, letusan yangdicerap adalah sehingga 16,764 meter (55,000 kaki) di udara.
“Walau bagaimanapun, pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidakmenunjukkan bahawa kualiti udara di permukaan bumi terjejas,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Letusan Gunung Ruang: Ratusan penumpang terkandas di KKIA
- Status aktiviti letusan Gunung Ruang dinaikkan ke Tahap IV, waspada potensi tsunami
- Letusan Gunung Ruang: MAS, AirAsia batal penerbangan ke/dari Sabah, Sarawak
- Di mana lokasi Gunung Ruang? Kronologi letusan yang memaksa ratusan penduduk dipindahkan
- METMalaysia terus pantau perkembangan letusan Gunung Ruang