comscore
Tumpuan :
Nasional

Letupan kuari, latihan polis bukan punca gegaran di Ipoh – Ketua Polis Perak

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris

IPOH: Kejadian gegaran dan dentuman kuat yang berlaku di bandar raya ini sekitar jam 11.06 pagi tadi bukan berpunca daripada aktiviti letupan kuari atau latihan polis seperti didakwa pengguna media sosial.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, hasil semakan dengan pihak Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta mendapati tiada latihan berkaitan letupan dijalankan pada hari ini.

Selain itu, menurutnya, semakan dengan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) juga mendapati tiada letupan yang dijalankan di mana-mana kuari sebelum pukul 12 tengah hari.

“Hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati, daerah Ipoh tidak terkesan dengan sebarang aktiviti seismik walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia pada jam 11.24 pagi tadi.

“Polis sedang menyiasat insiden ini dan orang ramai dinasihati supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga mencetuskan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azizi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak di talian 05-2451119 atau 05-2451073 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan penduduk Ipoh cemas akibat merasa gegaran selama beberapa saat disusuli bunyi kuat seakan dentuman di bahagian atas bangunan.

Tinjauan di media sosial mendapati pengguna mendakwa gegaran terbabit dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim dan Gugusan Manjoi.

Selain itu, pengguna media sosial juga mendakwa kejadian sama berlaku di Tanjung Rambutan, Klebang, Jelapang, Tambun, Silibin serta turut dirasai pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.

Kejadian terbabit turut menimbulkan perlbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini