Tumpuan :
Nasional

Letupan kilang kimia: Orang ramai di sekitar lokasi boleh jalankan aktiviti seperti biasa – Polis

KLANG: Orang ramai dan pengusaha kilang berhampiran kilang kimia yang meletup di kawasan perindustrian Sungai Kapar Indah, Klang boleh menjalankan aktiviti seperti biasa bermula hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.

“Setakat ini pihak polis dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah tamatkan penugasan kami.

“Jadi orang ramai dan juga pengusaha kilang di sekitar tempat kejadian boleh jalankan tugas harian kerana kawasan itu selamat,” katanya.

Terdahulu pemerhatian Buletin TV3 di kawasan kejadian mendapati kerja-kerja pembersihan dijalankan pihak kontraktor di sekitar lokasi kejadian.

Isnin lalu, sebuah kilang kimia di kawasan perindustrian Sungai Kapar Indah, Klang, dilaporkan terbakar hingga mengakibatkan berlaku beberapa letupan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.32 petang dipercayai berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di kilang terbabit.

Akibat kejadian, 33 mangsa mengalami sesak nafas dan pedih mata dan telah menerima rawatan pesakit luar.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini