Oleh: Fareez Azman
KLANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengesahkan kualiti udara di sekitar kilang kimia yang meletup di kawasan perindustrian Sungai Kapar Indah, Klang selamat.
Menurut Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar, bagaimanapun pihaknya akan meneruskan pemantauan kualiti udara di lokasi kejadian dari semasa ke semasa.
“Dari segi kualiti udara di kawasan tapak berada pada tahap normal.
“Walau bagaimanapun JAS masih menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa sehingga kita berpuas hati dengan keadaan di lokasi pada ketika ini,” jelasnya ketika dihubungi Buletin TV3.
Ujarnya, JAS Selangor masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sehingga kini.
“Keadaan ketika ini terkawal dan pihak JAS masih dalam siasatan untuk mengenal pasti punca dan juga kemungkinan terdapat sebarang pelanggaran syarat-syarat dikeluarkan pihak JAS sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kerja-kerja pembersihan di lapangan, tambah Nor Aziah, ia kini hampir 80 peratus siap dijalankan pihak kontraktor yang dilantik.
“Berdasarkan pemerhatian kita dilapangan beberapa hari lepas, kerja-kerja pembersihan di tapak telah mencapai 80 peratus dimana pihak kilang telah melantik kontraktor menjalankan kerja kerja pembersihan,” jelasnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.