Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KLANG: Bau bahan kimia yang turut mengakibatkan kepedihan mata, mengundang kebimbangaan selepas insiden letupan kilang kimia berlaku, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara, Shaharil Mohamad Hassan@Ibrahim berkata, pemantauan sedang dilakukan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini ketika proses pembersihan dilakukan.
“Kami tidak dapat menghampiri kawasan tersebut buat sementara waktu kerana keadaan yang masih berbau.
“Kita bimbang perkara yang tidak diingini berlaku jadi selepas pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) selesai menjalankan pemantauan, pihak kontraktor pembersihan akan masuk untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan,” katanya ketika ditemui BuletinTV3 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai keadaan mangsa terlibat, beliau berkata kesemua mereka dalam keadaan stabil.
“Setakat ini apa yang dimaklumkan pemilik bangunan, kesemua mangsa hanya cedera ringan mungkin akibat kecederaan ketika kelam-kabut semalam dan pekerja-pekerja lain juga ada membuat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” ujarnya.
Tambahnya pihaknya menjangkakan, kerja-kerja pembersihan kawasan kilang dapat diselesaikan hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.