Tumpuan :
Nasional

Letupan di Lubnan: Malaysia kecam serangan guna peranti komunikasi sebagai senjata 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya penggunaan peranti komunikasi sebagai bahan letupan di seluruh Lubnan sejak Selasa lalu yang telah meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa dan mencederakan lebih 3,300 orang.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Malaysia amat bimbang dengan serangan siber berkenaan yang telah menggugat keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara tersebut.

“Malaysia bersolidariti dengan Lubnan dalam krisis ini dan akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam meredakan situasi yang sedia tegang,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi terbabit, serta kepada kerajaan dan rakyat Lubnan.

Malaysia turut mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, setakat ini, tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Kedutaan Besar Malaysia di Beirut juga sedang memantau perkembangan dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan.

“Semua rakyat Malaysia di Lubnan disaran untuk mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi nasihat perjalanan daripada pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka amat digalakkan untuk berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my.

Untuk mendapatkan bantuan, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi di alamat Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut atau menghubungi talian di +961 71 380 063 dan +961 7677 2527 atau menerusi e-mel ke [email protected].

Semalam, media melaporkan, gelombang kedua letupan peranti ‘walkie-talkie’ di kubu kuat Hizbullah di Lubnan membunuh puluhan nyawa dan mencederakan lebih 450 yang lain.

Ia berlaku sehari selepas letupan serentak ratusan peranti alat kelui yang digunakan oleh Hizbullah membunuh 12 orang termasuk dua kanak-kanak dan mencederakan sehingga ribuan yang lain di seluruh Lubnan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini