comscore
Tumpuan :
Nasional

Letak periuk dalam tandas, restoran diarah tutup sementara

Periuk memasak dikesan diletakkan dalam tandas antara tindakan jijik pemilik premis makanan yang dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam operasi di Pasir Puteh. Foto ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

PASIR PUTEH: Letak periuk dalam tandas antara perbuatan jijik dan kotor pemilik lapan premis makanan yang diarahkan tutup dalam operasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) di daerah ini semalam.

Premis terbabit diarah tutup selama 14 hari dan 109 notis dikeluarkan dalam operasi dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, operasi membabitkan pemeriksaan di 52 premis makanan termasuk kedai makan dan restoran.

Katanya, Operasi Bersepadu Bersih Siri 09/2023 membabitkan 77 kakitangan dengan memberi keutamaan kepada premis makanan di sekitar bandar dan jalan utama Pasir Puteh yang menjadi tempat tumpuan orang ramai.

“Hasil pemeriksaan, lapan premis diarah tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Zaini berkata, pemilik premis makanan yang tidak mematuhi perintah penutupan premis makanan adalah melakukan kesalahan dan boleh disabitkan penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, 109 Notis Seksyen 32B memerintahkan hadir di Mahkamah turut dikeluarkan JKNK atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Notis paling banyak dikeluarkan membabitkan kesalahan Peraturan 32 berkaitan pakaian pengendali makanan (91 notis), tujuh notis kesalahan Peraturan 33 berhubungan kebersihan pengendali makanan, tujuh notis kesalahan Peraturan 11 kerana tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am tuan punya, pemilik atau penghuni premis makanan serta tiga notis 32B bagi kesalahan di bawah Peraturan 8 iaitu tidak mempamerkan Perakuan Pendaftaran di premis dan satu notis bagi kesalahan di bawah Peraturan 38, iaitu berhubung penyimpanan makanan.

“Kesemua notis 32B boleh dibayar kompaun dalam tempoh satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan,” katanya.

Zaini berkata, jabatan menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab pemilik premis untuk memastikan kedai makan atau restoran mereka bersih sentiasa.

“Pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen kebersihan ini akan diberikan bimbingan untuk tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan.

“Jika masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan berikutnya, arahan penutupan premis akan di buat di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” katanya.

JKNK turut menasihatkan orang ramai supaya memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar.

Loading...
Terkini