PUTRAJAYA: Lesen pengendali baharu penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor kepada syarikat yang layak akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sebanyak 10 syarikat telah memohon lesen berkenaan sejak dibuka pada September hingga Oktober tahun lalu.
“Saya akan buat pengumuman berkenaan lesen baharu kepada pengendali baharu, tetapi pengendali baharu ini apabila dapat lesen mereka perlukan masa untuk bina fasiliti mereka.
“Jadi kita harap penghujung tahun ini ada operator baharu dalam pasaran, supaya mereka beri persaingan dan pilihan kepada pengguna.
“Supaya pengguna boleh pergi salah satu pusat pemeriksaan kenderaan,” jelasnya.
Mengulas lanjut ujar Anthony, ia sekaligus membuka pesaingan sihat dalam industri itu selepas konsesi PUSPAKOM sebagai penyedia perkhidmatan tunggal itu tamat Ogos tahun lalu.
“Tapi bezanya adalah mereka (PUSPAKOM) tidak lagi boleh monopoli sebab dulu diberi konsesi hanya PUSPAKOM sahaja boleh buat pemeriksaan kenderaan.
“Jadi apabila konsesi tamat kita buka untuk permohonan lesen, jadi ada syarikat baharu telah memohon lesen.
“Setakat ini memang ada permohonan telah masuk dan kita tengah proses, dan dalam masa terdekat lesen akan dikeluarkan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya di sini hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.