KUALA LUMPUR: Kemalangan mengorbankan dua warga China ketika turun dari Genting Highlands semalam mendedahkan pelbagai isu membimbangkan.
Ia termasuk keadaan bas persiaran berkenaan dipercayai tidak diselenggara dengan baik selain penggunaan pihak ketiga oleh agensi pelancongan terbabit.
Susulan insiden itu, lesen operasi syarikat pelancongan itu akan digantung sementara jika wujud keperluan untuk berbuat sedemikian.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata siasatan awal mendapati penumpang bas berkenaan menyifatkan perjalanan mereka ke Genting Highlands amat bermasalah.
Ia apabila mereka mengadu bas yang dinaiki tidak mempunyai penyaman udara dan berbunyi bising malah terpaksa menukar bas sebanyak tiga kali.
Agensi pelancongan terbabit juga didakwa telah menyerahkan tugas membawa pelancong terlibat kepada pihak ketiga.
Justeru, pihak kementerian sedang menyiasat sama ada ejen yang bermasalah terlibat dalam kejadian itu atau sebaliknya.
Pihaknya juga tidak teragak-agak menggantung lesen syarikat terlibat jika didapati bersalah dalam insiden tersebut.
Satu mesyuarat khas bersama Kementerian Pengangkutan akan diadakan selasa ini, bagi membincangkan perkara berkenaan.
Ia termasuk prosedur operasi standard, SOP syarikat pelancongan dan bas persiaran di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan, (JPJ).
Ketika nahas jam 10.35 pagi semalam, bas berkenaan membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan membabitkan pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan.
Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, iaitu Zhang Ping 58 tahun dan Wang Suhong 49 tahun manakala 19 lagi cedera.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.