![](https://media.buletintv3.my/2023/06/j901erCC-BULETIN-TV3-11.jpg)
KUALA LUMPUR: Pembaharuan Lesen KL Madani dilanjutkan untuk setiap 6 bulan secara berterusan mulai 1 Julai 2023.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan lanjutan pembaharuan itu bertujuan memperkasakan peniaga dan penjaja kecil di wilayah itu.
Menurut kenyataan itu, kadar bagi pembaharuan lesen ialah RM20.00 bagi fi lesen dan RM30.00 sebulan bagi caj perkhidmatan selaras dengan tempoh dan kadar lesen sementara yang ada.
Pemegang Lesen KL Madani yang tamat tempoh pula dikehendaki memperbaharui lesen secara dalam talian melalui portal https://elesen.dbkl.gov.my.
Lesen KL Madani yang sebelum ini dikenali dengan nama Lesen KL Prihatin diberi nafas baru dan dijenamakan semula sejajar dengan matlamat Malaysia MADANI.
DBKL turut mengingatkan kepada mana-mana peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, lesen tamat tempoh, dan tidak mematuhi atau melanggar syarat-syarat lesen akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan lesen tersebut boleh dibatalkan.