Tumpuan :
Nasional

Lepaskan kenderaan tidak selamat, 3 kakitangan Puspakom disiasat

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PUTRAJAYA: Tiga kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) hadir memberi keterangan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perkara itu bagi membantu siasatan susulan kes sebuah kenderaan yang lulus pemeriksaan Op Mengejut Puspakom meskipun kenderaan berkenaan tidak selamat di Wangsa Maju semalam.

Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, kesemua mereka tiba di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya sekitar jam 10.30 pagi tadi untuk siasatan lanjut.

Beliau memberitahu, siastaan akan tertumpu terhadap elemen pengkuatkuasaan, teknikal dan integriti.

“Dimaklumkan tiga pegawai hadir iaitu dua daripada Puspakom Wangsa Maju dan seorang adalah Pengurus Wilayah Tengah dan pihak JPJ sedang menjalankan temu siasat kepada ketiga-tiga kakitangan puspakom tersebut berkaitan dengan penemuan oleh pihak JPJ masa sebuan Op Mengejut Puspakom yang dilaksanakan. Kita tak pasti bila proses ini akan selesai, kemungkinan sampai petang”.

“Kalau ada kelemahan kita akan syor tingkatkan penguatkuasaan.Teknikal kami tekankan apakah kesalahan atau kerosakan teknikal kepada kenderaan tersebut dan kenapa kenderaan tersebut diluluskan dan yang paling penting integriti atau salah laku.

“Sekiranya siasatan pada hari ini ada berlaku pelanggaran SOP dan prosedur daripada pemeriksaan pihak pegawai penyiasat, kita akan buat beberapa cadangan dan JPJ akan angkat hasil ini kepada Menteri Pengangkutan.

“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran kepada peraturan dan prosedur yang menjurus kepada salah guna kuasa dan rasuah, kami akan serahkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya, malah SPRM pun tahu berkenaan isu ini,” katanya kepada Buletin TV3.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan.

Mengulas mengenai tempoh proses siasatan, beliau menyatakan ia akan dilakukan secepat mungkin selain menjamin siasatan yang telus dan adil.

Ujarnya lagi, JPJ tidak akan sesekali bertolak ansur dalam perkara dan risiko yang mampu mencetuskan kemalangan

Pihaknya juga akan memanggil pemilik lori terbabit dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.

“Bila kita buat siasatan semalam lori ini telah dibawa oleh ‘runner’ warga asing yang tidak ada lesen memandu.

“JPJ KL dah keluarkan saman dan lori telah disita termasuk memanggil pemilik untuk pemeriksaan lanjut,” katanya lagi.

Semalam, JPJ telah melaksanakan pemeriksaan mengejut melibatkan 25 premis PUSPAKOM di seluruh negara.

Sebanyak 29 kenderaan dikenakan tindakan penguatkuasaan manakala 69 notis telah dikeluarkan membabitkan kesalahan seperti penggunaan tayar celup dan sebagainya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini