Tumpuan :
Nasional

Lepasan SPM disaran mengikuti pengajian di Politeknik

DUNGUN: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran mengikuti pengajian dalam bidang teknikal yang ditawarkan di Politeknik dalam usaha meraih peluang pekerjaan yang membanggakan.

Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Zamra Derahman berkata, masih ramai lepasan SPM yang tidak berminat mengikuti bidang teknikal dan mereka lebih gemar berkerja sendiri.

 

Menurutnya, hasil kajian yang dilakukan, graduan lepasan Politeknik di seluruh negara mampu memperolehi pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi.

“Sebagai contoh, untuk tahun lepas, daripada 700 graduan PSMZA, seramai 95.6% berjaya mendapat tempat di sektor industri di luar sana.

“Apa yang membanggakan ada graduan kami mampu memperolehi pendapatan sehingga RM4,000 sebulan,” katanya ketika merasmikan Karnival Pemadanan Kerjaya bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial PERKESO di Dewan PSMZA, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Perkeso daerah Dungun, Mohd Sabri Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC Global, Datuk Norhisham Mohd Arifin.

Karnival Pemadanan Kerjaya yang dianjurkan selama sehari itu disertai 10 syarikat yang menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan.

Zamra berkata, pihaknya menyambut baik langkah Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK) meningkat aktiviti promosi dalam usaha menarik lebih ramai lepasan sekolah mengikuti pengajian dalam bidang teknikal di Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Kami di PSMZA sangat berbesar hati dan terbuka dengan apa jua perlaksanaan serta inisiatif daripada pihak industri yang membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran graduan kami.

“Pasal itu kita sangat berharap lepasan SPM memilih Politeknik sebagai pilihan pertama demi masa depan kerjaya mereka sebaik tamat SPM nanti,”katanya.

Sementara itu, Mohd Sabri berkata, Urusetia Pekerjaan negeri Terengganu (UPNT) bersama Perkeso dan Terengganu Human Resource Development Center (THRDC) mengatur strategi bagi mengurangkan kadar pengangguran di negeri Terengganu.

“Hasil kerjasama itu, pada tahun 2021 kita berjaya menempatkan seramai 8,526 rakyat Terengganu ke alam pekerjaan dan kesinambungan itu diteruskan dimana 5,505 lagi mendapat pekerjaan pada tahun lalu,”katanya.

Katanya, Perkeso Terengganu juga menyelesaikan bayaran sebanyak RM4.7 juta melalui faedah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) kepada 900 pencarum yang terlibat

“Di daerah Dungun sahaja, kita melunaskan bayaran kira-kira RM800,000 kepada 120 pencarum yang terlibat.

“Kita juga berjaya mendapatkan semula pekerjaan kepada 298 pencarum,” katanya

Sabri berkata, sepanjang tahun lepas, sebanyak 3,044 jawatan kosong dihebahkan dan seramai 71,000 mendaftar untuk mencari pekerjaan.

Loading...
Terkini