comscore
Tumpuan :
Nasional

Lembaga Koko Malaysia akan distruktur semula

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

BAGAN DATUK: Lembaga Koko Malaysia akan distrukturkan semula dan dikenali sebagai Lembaga Koko dan Kelapa Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penstrukturan itu tidak akan melibatkan sebarang perbelanjaan dan perjawatan tambahan.

“Sebaliknya kita menggunakan perjawatan sedia ada dan membawa mereka yang pakar dalam bidang ini yang berada di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mardi atau di mana-mana institut penyelidikan.

“Ini satu pendekatan di mana kita tidak mahu berlakunya pembazira sebaliknya menggunakan sumber yang ada untuk kita manfaatkan kelapa ini,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Jelajah Hari Terbuka Malaysia Madani, Unisel Depani dan Kelapa Fest Bagan Datuk 2024 di sini hari ini.

Tambahnya, fokus terhadap komoditi kelapa itu tidak khusus hanya di Bagan Datuk malah ia melibatkan seluruh negara termasuk pantai barat, pantai timur serta Sabah dan Sarawak.

Datuk Seri Ahmad Zahid berkata komoditi kelapa ini akan dijadikan satu produk untuk menjana pendapatan tambahan kepada masyarakat di kawasan desa.

“Insya-Allah kita akan realisasikan dengan kerjasama semua pihak dan kita tidak harus bekerja secara silo untuk mempromosikan sesuatu produk.

“Terutamanya produk yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada penduduk luar bandar atau penduduk desa

“Kelapa akan dijadikan sebagai salah satu elemen penting bagi penjanaan baharu pendapatan kepada penduduk luar bandar khusunya di kawasan yang mempunyai komoditi kelapa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini