KUALA NERUS: Seorang lelaki tidak sempat bertunang dengan pasangannya Sabtu ini selepas ditemukan lemas di Sungai Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, Terengganu.
Sebelum kejadian, Mangsa, Ahmad Yusof Din, 24, dilaporkan sedang bermain bot kawalan jauh bersama rakannya, kira-kira jam 10 malam tadi.
Bot kawalan jauh milik mangsa rosak, mangsa dikatakan berenang untuk mengambil bot itu.
Bagaimanapun, mangsa mengalami kekejangan dan cuba diselamatkan rakannya, Muhammad Danial Hafriz Abdul Halim, 26, tetapi gagal.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, mayat mangsa ditemui tiga jam selepas itu.
Mayat mangsa ditemui 12 meter di dasar sungai dan 30 meter dari lokasi kejadian.
“Maklumat daripada keluarga, mangsa main bot kawalan jauh dan bot mati di tepi sungai tepi jeti.
“Mangsa berenang untuk mengambil bot dan tak sempatlah mungkin kejang” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Mangsa dijadualkan melangsungkan tali pertunangan dengan pasangannya Sabtu ini.
Untuk rekod, kejadian itu merupakan kes kematian akibat lemas pertama berlaku di Terengganu, tahun ini (2024)
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.