![](https://media.buletintv3.my/2025/02/Wpy7JxbU-BULETIN-TV3-N-2025-02-11T171204.634.jpg)
HULU SELANGOR: Polis akan merakam keterangan enam rakan kepada remaja berusia 19 tahun yang ditemui lemas di Air Terjun Sungai Kedondong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim ketika dihubungi BH mengesahkannya.
“Ya (rakam keterangan) untuk membantu siasatan. Kesemua mereka adalah lelaki dengan anggaran usia seperti mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Faizal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.37 pagi semalam.
“Mangsa dilaporkan hilang selama kira-kira 30 minit sebelum ditemui jam 12 tengah hari.
“Bedah siasat dijalankan terhadap remaja itu di Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Susulan itu katanya, orang ramai yang mahu mengunjungi pusat rekreasi atau kawasan perkelahan dalam daerah berkenaan perlu peka terhadap keselamatan diri ketika beriadah bersama keluarga atau rakan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 11.43 pagi.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.
Mayat mangsa dikenali sebagai Adam Ashraf Mohd Amir kemudian ditemui dalam lingkungan radius tiga meter dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.