Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelongan amal untuk Palestin: Faizal Tahir kumpul lebih RM43,000

 

 

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir berjaya mengumpulkan RM43,806.21 menerusi kutipan derma, jualan tiket, jualan barangan peribadi berserta lelongan trofi, kasut, jaket dan gitar miliknya menerusi acara amal Faith4Palestine, petang tadi.

Faizal berkata, dia bersyukur acara amal, Faith4Palestine yang dianjurkan menerusi gerakan kemanusiaannya, iamFaithmen dan syarikat rakamannya, Faithful Music itu mendapat sokongan sangat memberangsangkan.

“Ia satu jumlah wang hebat yang kita dapat kumpul dalam masa sehari. Terima kasih kepada semua yang sudi menderma.

“Secara jujurnya, ia di luar jangkaan sebab nak kata saya yakin nak kumpul sebanyak ini pun, tidak sebab kami buat dalam jangka masa yang pendek dan dalam keadaan banyak benda yang saya perlu buat, Alhamdulillah pasukan saya dapat curi masa buat acara ini.

“Jadi, untuk dapat RM43,806.21 dalam sehari ini adalah satu kejayaan yang sangat baik.

“Saya juga banyak berterima kasih kepada tiga stesen radio kerana sudi bantu untuk promosi. Alhamdulillah, nak keluar single pun tak senang sebegitu.

“Bagi saya, ini memang bidan terjun, saya memang langgar sahaja sebab acara seperti ini tak boleh tunggu lama.

“Lagipun, saya fikir apa lagi yang saya boleh buat, kalau dalam media sosial ramai yang boleh buat, saya pula boleh menyanyi dan berkongsi jadi bila sudah dapat peluang sebegini, saya kena buat juga,” katanya kepada BH Online.

Sebelum itu, acara amal yang berlangsung dari jam 2 petang itu dimulakan dengan sesi perkongsian bersama Faizal dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Jualan tiket bagi acara amal itu saja berjaya mengutip keuntungan sebanyak RM25,437.22 dan kutipan itu disalurkan kepada tabung bantuan Palestin melalui rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini