comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki warga Thailand lari dari pemeriksaan bawa dadah RM2.3 juta

Oleh: Selwam Arjunan

PADANG BESAR: Tindakan nekad lelaki warga Thailand yang lari meninggalkan kenderaan ketika pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, membongkar penemuan dadah bernilai RM2.3 juta ringgit, pada 3 September lalu.

 

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, pemeriksaan menemui dadah jenis methamphetamine seberat 73.1 kilogram disorokkan di dalam kenderaan jenis Isuzu MU-X dipandu suspek.

“Kenderaan suspek ditahan untuk pemeriksaan rutin di laluan import, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang.

“Kita minta passport suspek untuk diperiksa, sementara itu suspek berlakon nak mengeluarkan passport dan kita tengok dulu belakang kenderaan, tapi dalam masa sekejap dia (suspek) hilang,” katanya dalam sidang media di pejabat Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Perlis, di sini, hari ini.

Menurut Ismail, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek melarikan diri masuk ke arah Malaysia sebelum didapati hilang.

Berdasarkan semakan, kenderaan digunakan suspek adalah milik seorang wanita yang didaftarkan di Nakhon Si Thammarat, Thailand dan didapati telah berulang alik ke Malaysia sebanyak lima kali sepanjang tahun ini.

“Dadah dalam 56 peket teh cina ditemui dalam ruangan khas di bahagian bawah tempat duduk penumpang barisan kedua.

“Manakala dadah dalam 14 bungkusan hitam lagi ditemui pada lantai tempat duduk penumpang belakang barisan pertama.

“Jumlah keseluruhan dadah yang disorokkan dalam kenderaan itu dianggarkan seberat 73.19 kilogram,” katanya lagi.

Tambah beliau, Kastam sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi menyiasat keberadaan suspek, sama ada masih di Malaysia atau telah kembali ke negara asal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berdasarkan rekod Kastam sejak awal tahun sehingga kini,  dadah bernilai RM3.179 juta berjaya dirampas berbanding sepanjang tahun lalu RM1.844 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini