Tumpuan :
Nasional

Lelaki warga emas melecur, bengkel baiki kereta terbakar

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di sebuah bengkel membaiki kereta di Kampung Lahar Ikan Mati, Jalan Dato Haji Abdullah Ahmad Badawi,Kepala Batas. – FOTO: NSTP / Ihsan JBPM

KEPALA BATAS: Seorang lelaki warga emas melecur dalam kebakaran di sebuah bengkel membaiki kereta di Kampung Lahar Ikan Mati, Jalan Dato Haji Abdullah Ahmad Badawi, di sini, pagi tadi.

Kejadian itu turut mengakibatkan 15 kenderaan termasuk sebuah motosikal musnah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas dengan bantuan BBP Bertam serta Tasek Gelugor ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.11 pagi berhubung insiden berkenaan.

Katanya, sebaik tiba didapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel membaiki kereta dengan anggaran peratusan kemusnahan sebanyak 80 peratus.

FOTO: NSTP / Ihsan JBPM

“Kebakaran turut melibatkan 15 buah kenderaan iaitu 14 kereta dan sebuah motosikal serta alat perkakasan bengkel dan mesin.

“Terdapat seorang mangsa lelaki (ahli keluarga pemilik bengkel) berusia 63 tahun mengalami kecederaan melecur tahap satu pada anggota badan semasa keluar untuk menyelamatkan diri.

“Mangsa telah dibawa oleh orang awam ke hospital terdekat untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, kerja-kerja pemadaman kemudian dijalankan dengan dibantu anggota balai bomba dan pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran.

“Kebakaran telah berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya sebelum anggota seterusnta menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada kemerebakan dan kemerbahayaan lain,” katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini