
BALING: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas dihempap pokok di Kampung Charuk Jernih, Tawar, Jalan Baling – Kulim di sini.
Dalam kejadian jam 12.34 tengah hari tadi, mangsa berusia 64 tahun dipercayai sedang melakukan aktiviti menebang pokok di kawasan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, beberapa saksi memaklumkan mangsa sedang menjalankan kerja memotong kayu bersama rakannya di lokasi kejadian.
“Ketika kerja penebangan pokok sedang dilakukan, pokok berkenaan tumbang dan menghempap mangsa yang sedang berjalan.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia. Kematiannya disahkan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Zulkhairi berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membersihkan kawasan itu termasuk memotong dahan pokok bagi memudahkan mangsa dibawa keluar.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.