Tumpuan :
Nasional

Lelaki warga emas mati dalam rumah tiada unsur jenayah – Polis

Anggota BBP Alor Setar bersama polis ketika melakukan operasi untuk mengeluarkan lelaki warga emas yang meninggal dunia dalam rumah yang terkunci di Taman Serindit, Jalan Langgar. – FOTO: Ihsan bomba

ALOR SETAR: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki berusia 68 tahun yang ditemui mati di rumahnya di Taman Serindit, Jalan Langgar petang semalam tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima makluman berkenaan pada 4.03 petang melalui Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar selepas dihubungi jiran lelaki berkenaan.

Menurutnya, jirannya mengesyaki sesuatu mencurigakan selepas mendapati lelaki itu tidak keluar rumah sejak beberapa hari lalu dan mula terhidu bau busuk dari rumah lelaki itu, semalam.

“Bimbang sesuatu berlaku, jirannya kemudiannya menghubungi pihak polis dan bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Teka-teki bau busuk terjawab apabila pihak polis mendapati lelaki itu ditemui mati dalam keadaan berbaring di atas katil di dalam bilik rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Siti Nor Salawati berkata, lelaki itu dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah mereput.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat jirannya, lelaki warga emas itu masih bujang dan tinggal berseorangan di rumah terbabit malah kebiasaannya dia akan keluar setiap pagi untuk membeli sarapan.

“Si mati juga dikatakan gemar menyendiri dan kurang bergaul dengan kejiranan, malah difahamkan sering menerima rawatan di hospital berdekatan berkenaan penyakit darah tinggi dan kencing manis yang dihidapi.

“Siasatan lanjut pihak polis di tempat kejadian tidak mengesan sebarang unsur jenayah untuk dikaitkan dengan kematian si mati,” katanya.

Siti Nor Salawati berkata, mayat lelaki itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini