KLUANG: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas memasuki kebun kelapa sawitnya di Batu 17, Kahang, di sini, 15 Januari lalu, ditemukan meninggal dunia, semalam.
Ketua Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan mayat lelaki ditemukan terbaring di tepi jalan berhampiran sebuah motosikal, jam 6.24 petang.
“Polis menerima laporan daripada lelaki warga asing yang menemukan mayat ketika sedang bekerja.
“Anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Balai Polis Kahang kemudiannya bergegas ke lokasi,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan barangan peribadi mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk bedah siasat.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Lee Siew Hat, 73, dilaporkan hilang selepas memasuki kebun kelapa sawitnya, pada 15 Januari lalu.
Lelaki warga emas itu direkodkan masuk pada 9.12 pagi dan keluar pada 11.13 pagi.
Polis menerima aduan daripada isteri lelaki berkenaan pada 4.30 petang hari yang sama, mengatakan suaminya tidak pulang sejak pagi selepas keluar untuk pergi melihat kebunnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.