KULAI: Mayat seorang warga emas ditemui dengan kesan tikaman di ruang tamu sebuah rumah di Taman Bahagia, Senai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki warga tempatan berusia 67 tahun itu dipercayai tinggal berseorangan di rumah berkenaan.
“Kita menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tempatan pada 11.42 pagi semalam, yang memaklumkan berhubung kejadian terbabit.
“Pengadu memberitahu menjumpai seorang lelaki dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut Tan, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan tikaman dipercayai menggunakan objek tajam.
“Tiada barangan hilang dari rumah mangsa dan kita masih menyiasat motif dan punca kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menggesa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Nur Aniyah Ismail di talian 013-9792526 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai di talian 07-6632222,” jelasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.