TAWAU: Seorang lelaki warga emas ditahan polis tengah malam semalam kerana membuat hantaran jelik menghina agama Islam yang dimuat naik di Facebook dan tersebar sejak kelmarin.
Suspek lelaki berusia 70 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau kira-kira jam 12.15 tengah malam, di sekitar pusat bandar di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan dibuat berikutan laporan dibuat seorang lelaki berusia 25 tahun pada Selasa lalu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, pengadu mendakwa telah melihat satu kenyataan jelik yang mempunyai unsur menghina dan menyinggung sensitiviti umat Islam dimuat naik oleh individu terbabit di Facebook.
“Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan permusuhan, kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana agama.
“Selain itu siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jasmin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti niat di sebalik kenyataan yang dimuat naik individu berkenaan.
“Pihak polis memandang serius isu sebegini dan orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan agama sebagai jenaka kerana ia boleh menimbulkan perasaan permusuhan, kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana agama, perpecahan serta situasi tidak harmoni dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.