comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki warga emas direman, dipercayai tembak anggota polis

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga emas direman enam hari sehingga Rabu ini kerana dipercayai telah menembak seorang anggota polis sehingga maut.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Fazlina Musa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Suspek yang berusia 65 tahun itu, dipercayai telah menyebabkan kematian anggota polis cawangan khas Ibupejabat Polis Kontijen Kedah itu yang sedang menjalankan operasi menyiasat pencerobohan dan pemburuan haram yang berlaku di dalam kawasan Kompartmen 124 Hutan Simpan Ulu Muda, Sik, Kedah.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Supritenden Abdull Razak Osman dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berlaku sekitar 10 pagi, pada Khamis.

Siasatan awal katanya mendapati sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sik, anggota Cawangan Khas IPK Kedah dan pasukan Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah dibantu oleh orang awam telah memasuki kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, Sik untuk menyiasat pencerobohan dan pemburuan haram yang dipercayai berlaku di kawasan itu.

Pasukan itu telah bermalam di kompartmen 103, Hutan Simpan Ulu Muda.

Keesokannya sekitar jam 3 petang, si mati bersama 2 orang awam telah bergerak ke kompartmen 124 di dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dengan menggunakan kenderaan awam untuk membuat pemerhatian dan menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, mereka masih belum pulang ke tempat penginapan yang terletak di kompartmen 103.

“Seterusnya usaha mencari mereka telah dijalankan. Namun hanya menjumpai kenderaan yang digunakan di persimpangan diantara kompartmen 124 dan 125. Pada 29 Februari, jam lebih kurang 5.00 pagi, mangsa telah dibawa balik ke kompartmen 103 dan disyaki telahpun meninggal dunia.”

“Mangsa ke Hospital Sik untuk tindakan lanjut dan mangsa disahkan telah meninggal dunia. Ketiga-tiga mereka termasuk mangsa dipercayai telah sesat akibat cuaca gelap,” katanya.

Dimaklumkan satu bunyi letupan telah berbunyi sekitar jam dua pagi dan dipercayai terkena mangsa di bahagian hadapan dan menjadi punca kematiannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini