Tumpuan :
Nasional

Lelaki warga emas dikhuatiri hilang, mungkin lupa jalan pulang

Seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun dikhuatiri hilang selepas keluar dengan memandu sendiri kereta Perodua Myvi berwarna ungu dari rumahnya di Kampung Pelet, Kubang Semang di sini, tengah hari semalam. FOTO IHSAN FB AIDA YUSOFF

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Pelet, Kubang Semang di sini dengan memandu sendiri kereta Perodua Myvi berwarna ungu sekitar jam 1 tengah hari semalam.

Anaknya, Aida Yusoff, 45, berkata bapanya, Yusoff Ali, 81, tinggal berdua dengan ibunya berdekatan rumah di kampung berkenaan, biasanya hanya keluar memandu kereta untuk ke kedai atau kawasan berdekatan ditemani ibu atau ahli keluarga lain.

“Tetapi semalam abah saya keluar tanpa pengetahuan sesiapa dan selalunya dia hanya berehat di dalam bilik tidak ke mana-mana. Paling kami bimbang, dia tidak begitu sihat dan tidak boleh memandu lama.

“Kebelakangan ini juga dia kurang selera makan. Saya boleh dikatakan hampir setiap hari menjenguk ibu bapa kerana kami tinggal berdekatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, ada kenalan memberitahu terserempak bapanya di kawasan Bayan Baru lewat petang semalam, tetapi apabila mereka mencari warga emas itu di sana dia tidak dapat ditemui.

“Berkemungkinan atas faktor usia abah saya lupa jalan pulang ke rumah. Jika dia memandu ke sebelah pulau, saya rasa dia guna kad pengenalannya sebagai kad Touch n’ Go untuk merentasi Jambatan Pulau Pinang.

“Merata tempat kami sudah pergi cari. Jadi saya minta sangat, sesiapa yang jumpa, tolong pegang abah saya dan segera hubungi kami atau balai polis berdekatan,” katanya menambah laporan polis telah dibuat jam 4.05 petang semalam.

Waris Yusoff boleh dihubungi di talian 017-458 9655 (Aida) atau 017-412 8065 (Syawal).

Yusoff mempunyai ciri fizikal bertubuh kurus, mempunyai ketinggian sekitar 150 sentimeter, berkulit sawa matang dan memandu kereta dengan nombor pendaftaran PLG 7773.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini