Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Seorang lelaki warga emas cedera selepas kedai runcit di Pasar Pagi di Kampung Jawa, di sini terbakar, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa dilaporkan tercedera akibat ditarik orang awam keluar dari tempat kebakaran ketika warga emas terbabit cuba memasuki kedainya memadam api.
Menurutnya, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan serta Indera Mahkota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 9:40 malam tadi.
Katanya, kebakaran membabitkan rumah kedai jenis dua tingkat.
“Akibat kebakaran itu lapan puluh peratus premis terbabit hangus,”
“Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran dan api dipadamkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian,”
“Maklumat awal diperolehi, mangsa cedera di tangan dan kaki ketika orang ramai menghalang dan menarik keluar lelaki terbabit tempat kebakaran ketika warga emas itu cuba memasuki kedai mahu memadam api.” katanya menerusi kenyataan di sini.
Ismail berkata, mangsa diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia di tempat kejadian sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut.
Katanya, punca kebakaran serta nilai kerugian sedang disiasat.