comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki warga Bangladesh dalang sindiket pemalsuan dokumen ditahan

FOTO: JIM

KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket pemalsuan dokumen didalangi seorang lelaki warga Bangladesh terbongkar selepas dia ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam serbuan di sebuah hotel di Chow Kit di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, penahanan lelaki berusia 24 tahun itu dibuat menerusi operasi khas oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, jam 8.30 pagi.

Katanya, operasi itu dilakukan berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu.

“Hasil soal siasat dilakukan mendapati suspek dipercayai menjadikan sebuah bilik di hotel berkenaan sebagai markas aktivitinya.

“Semakan awal mendapati suspek memiliki pas pelajar yang masih sah laku bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

FOTO: JIM

Datuk Ruslin berkata, pihaknya merampas 43 kulit pasport Bangladesh, 37 pasport Bangladesh disyaki palsu, 29 kulit pasport India, 18 kulit pasport Indonesia, tujuh kulit pasport Nepal lima dan kulit pasport Filipina.

“Kami turut merampas sembilan dokumen e-visa elektronik, enam pasport Indonesia disyaki palsu dan masing-masing sebuah komputer riba dan mesin pencetak.

“Selain itu, kami turut merampas dokumen pemeriksaan perubatan pekerja asing (Fomema) disyaki palsu, kertas bercetak muka surat pasport Bangladesh dan pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu,” katanya.

Katanya, suspek terbabit dipercayai bergerak secara individu dengan menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport palsu kepada warga asing dari Bangladesh, Nepal, India dan Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan.

“Suspek ini juga didapati menggunakan pasport terbabit (palsu) untuk mendapatkan dokumen Fomema.

“Lelaki terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM150 untuk setiap pasport.

“Suspek juga dipercayai menghasilkan antara 50 hingga 100 naskah pasport (palsu) sehari,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kami juga mengeluarkan notis hadir ke pejabat terhadap seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

“JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini