Tumpuan :
Nasional

Lelaki warga asing buat kecoh di KLIA meninggal dunia dalam tahanan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing yang ditahan kerana membuat gangguan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, meninggal dunia kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pasukan dari Balai Polis MTB (Main Terminal Building) pada jam 1.30 tengah hari.

“Suspek dalam perjalanan dari United Kingdom (UK) ke Phuket, Thailand dan sewaktu transit di KLIA, dia melakukan kacau ganggu dan bertindak agresif lalu ditahan.

“Ketika ditahan, suspek masih bertindak agresif dan merosakkan barang milik balai polis selain mengakibatkan kecederaan kepada tiga anggota polis termasuk polis bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semasa dalam proses dokumentasi suspek tidak sedarkan diri dan anggota segera mendapatkan bantuan pihak perubatan KLIA.

Hussein berkata, suspek diberikan rawatan awal oleh doktor sebelum disahkan meninggal dunia.

“Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang semalam, namun punca kematian belum dapat dikenalpasti dan memerlukan keputusan siasatan makmal,” katanya.

Jelasnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Kata beliau, siasatan diteruskan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman daripada pelbagai sudut sebelum hasil siasatan diserahkan kepada Koroner.

Tambahnya, siasatan juga dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini