PENAMPANG: Seorang lelaki dan wanita ditahan kerana memiliki 501.29 gram dadah jenis methamphetamine (syabu) dianggarkan bernilai RM16,000 yang dipercayai untuk diedarkan di sini, semalam.
Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 20-an ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, kira-kira jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek terbabit menemui 10 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan hablur jernih.
“Pemeriksaan mendapati semua bahan terbabit disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 501.29 gram yang dianggarkan bernilai RM16,000 mengikut harga pasaran secara keseluruhan.
“Kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphethamine selepas ujian saringan awal air kencing dibuat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mandatori atau penjara seumur hidup.
Katanya, suspek juga boleh disebat tidak kurang 15 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) akta sama dan kedua-dua suspek kini ditahan reman.
“Polis mengingatkan masyarakat supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.