Tumpuan :
Nasional

Lelaki ugut Harith Iskander, keluarga sudah ditahan – KPN

KUALA LUMPUR: Polis sudah menahan suspek lelaki yang disyaki membuat ugutan kepada pelawak popular, Harith Iskander dan keluarganya baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan hari ini, selepas pengurus pelawak terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi jam 7.31 petang kelmarin.

Menurutnya, dalam kejadian pertama, mangsa dihubungi suspek jam 11.21 pagi Selasa lalu ketika berada di hadapan Semua House, Jalan Bunus 6, Masjid India.

“Lelaki itu mengugut dengan nada kasar dan ingin membunuh susulan pelawak terbabit ada mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ‘ham’.

“Dalam kejadian kedua jam 3 petang kelmarin, semasa pengurusnya berada di sebuah restoran nasi lemak di Jalan Bunus 6, di sini, menerima mesej gambar pegun anaknya mengandungi mesej berbaur ugutan,” katanya kepada Harian Metro malam ini.

Razarudin berkata, suspek direman bermula hari ini hingga 28 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 509 KK.

“Polis turut merampas telefon bimbit suspek bagi membantu siasatan.

Terdahulu media melaporkan terima ugutan bunuh menjadi punca Harith Iskander membatalkan persembahan komedi berdiri DFP Punchline : Harith Iskander 35 Year of Laughter yang sepatutnya berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, di sini, malam ini.

Pengurusnya, Dr Jezamine Lim yang juga bekas isterinya berkata, ugutan itu turut membabitkan keselamatan tiga anak mereka dan pihaknya sudah membuat laporan polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini