Oleh: Safwan Sawi
LAHAD DATU: Seorang lelaki tersepit dan tertimbus di dalam tanah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan lori tangki yang membawa muatan simen.
Lori berkenaan terbabas lalu terjatuh ke gaung sedalam 10 meter di Batu 18, Jalan Sandakan-Lahad Datu di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, identiti mangsa belum diketahui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang giat dilakukan oleh pasukan bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 pagi.
Seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak 29 kilometer dari BBP Lahad Datu.
“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori tanker membawa muatan simen telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.
“Terdapat seorang mangsa terlibat dilaporkan tersepit dan tertimbus di dalam tanah. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.
Operasi mengeluarkan mangsa sedang dijalankan di lokasi kejadian dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.