BALING: Seorang lelaki terselamat walaupun selepas kereta dipandunya terjatuh ke gaung sedalam kira-kira 120 meter (m) di Kampung Kemangi, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, petang semalam.
Mangsa, Ismail Rasdi, 26, hanya cedera ringan dengan calar pada bahu kanan, luka pada kaki kiri, tangan kanan dan kiri serta sakit pada badan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Ismail yang juga pembantu kesihatan awam di Pejabat Kesihatan Baling dihantar ke Hospital Baling, untuk rawatan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kereta dipandu mangsa datang dari arah Kelantan menghala ke rumahnya di Taman Bersatu, di sini.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandunya dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan menurun bukit dan keadaan jalan basah serta berselekoh menyebabkan kereta itu terbabas sendiri dan melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam gaung.
“Keadaan kereta itu sukar dilihat pada waktu itu kerana kedudukannya jauh ke bawah gaung antara 100m hingga 120m.
“Mangsa kemudian ditemui tidak lama kemudian dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Shamsudin berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).
Katanya, semakan dengan Bomba Baling mendapati tiada kesan minyak di lokasi kemalangan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, sepasukan lapan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Yunus Ali digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 5.40 petang.
“Sebaik tiba di situ, mangsa tidak tersepit dan anggota bomba berjaya membawanya naik dengan menggunakan tali sebelum dibawa ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.