Tumpuan :
Nasional

Lelaki terselamat, kenderaan dipandu dihempap pokok tumbang

Foto: JBPM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki terselamat selepas kenderaan dipandu dihempap pokok tumbang di Batu 16 Jalan Kuala Lumpur-Rawang berhampiran susur ke Lebuhraya Latar dekat sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Waslu, berkata polis menerima laporan kejadian jam 1.20 tengah hari.

Menurutnya, mangsa membabitkan lelaki berusia 38 tahun yang memandu Nissan Xtrail.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang berada di lokasi berjaya mengalihkan pokok tumbang.

“Pemandu kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian pokok tumbang berlaku disebabkan hujan lebat dan angin kuat.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan seramai tujuh pegawai serta anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi sejurus menerima panggilan kejadian.

Katanya, anggota memotong dahan pokok menggunakan peralatan khas dan mangsa dikeluarkan dengan selamat.

Pasukan turut mengalihkan pokok tumbang ke bahu jalan bagi kelancaran lalu lintas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini