comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelaki terjun dari tingkat 5 selepas tikam rakan 11 kali


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui berlumuran darah dengan 11 kesan tikaman di badan dipercayai dilakukan rakan serumahnya di sebuah rumah pangsa di Desa Mentari, Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian pada 5.45 pagi itu dimaklumkan oleh orang awam menerusi panggilan kecemasan 999 selepas mendapati mangsa cedera dan berlumuran darah di kediamannya di tingkat lima rumah pangsa tersebut.

Polis yang tiba ke lokasi kejadian mendapati mangsa yang dipercayai ditikam terbaring di bahagian ruang tamu rumah, manakala suspek dijumpai juga dalam keadaan terbaring di tingkat bawah selepas disyaki cuba melarikan diri dengan melompat melalui tingkap dapur rumah tersebut.

“Suspek yang terjun patah pinggang serta cedera di rusuk kanan,” katanya dalam kenyataan.

Shahrulnizam berkata, dua pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh memberi bantuan awal kepada mangsa serta suspek dan pemeriksaan mendapati terdapat 11 tikaman pada bahagian badan mangsa.

“Mangsa serta suspek telah dirujuk ke pusat perubatan untuk rawatan lanjut, manakala sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu dirampas. Satu kertas siasatan juga telah dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini