Oleh: Selwam Arjunan
ALOR SETAR: Seorang lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Kedah dekat Jalan Datuk Kumbar, di sini, ditemukan lemas petang semalam.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.04 petang.
Jentera pertama dari BBP Alor Setar tiba di lokasi 11 minit kemudian, dibantu BBP Jitra dan BBP Sungai Petani.
“Setiba di lokasi, maklumat yang diperolehi dari polis adalah mangsa berusia 45 tahun terjatuh ke dalam sungai dan dipercayai telah lemas. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah digerakkan ke lokasi.
“Kerja-kerja pencarian awal dilakukan di sekitar tebing sungai dan ‘water surface searching’ dengan menggunakan bot.
“Seterusnya pasukan PPDA telah buat selaman pertama pada jam 6.42 petang dan mayat mangsa ditemukan pada jam 6.58 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi turut dibantu PPDA dari BBP Jitra dan BBP Sungai Petani tamat pada jam 7.25 petang.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.