Oleh: Selwam Arjunan
ALOR SETAR: Lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Kedah dari Jambatan Jalan Raja, di sini, hari ini ditemui lemas petang tadi.
Penolong Pengarah (Operasi Kebombaan dan Penyelamat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari.
Jentera bomba pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja tiba di lokasi dua minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, dimaklumkan seorang lelaki berumur 45 tahun telah terjatuh ke dalam sungai dari Jambatan Jalan Raja.
“Anggota menjalankan ‘surface searching di sekitar lokasi kejadian, kemudiannya memulakan selaman apabila tiada petunjuk ditemui.
“Dua orang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turun membuat selaman di sekitar lokasi mangsa dikatakan terjatuh.
“Pada jam 4.10 petang mangsa lemas telah dijumpai unit PPDA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi turut melibatkan anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan dibantu BBP Sungai Petani.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.