IPOH : Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dari rumah bot di Tasik Temenggor dekat Gerik, dalam satu kejadian petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat mangsa Muhamad Zulfaqar Zulkarnaen, 33, ditemui kira-kira jam11.25 malam tadi.
Beliau berkata pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.20 petang dan tiba di lokasi pada 7.56 malam.
“Mangsa, anak kepada seorang anggota bomba di Gerik dilaporkan terjatuh dari rumah bot kecil semasa mahu menambat tali sauh di tasik berkenaan.
“Sebanyak 31 orang terlibat dalam operasi tersebut terdiri daripada bomba, polis, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta orang awam dengan kekuatan logistik menggunakan tujuh buah bot,” katanya satu dalam kenyataan.
Sabarodzi berkata mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 12.30 tengah malam.