comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki tempatan antara ditahan ‘payung’ warga asing di Pengerang

Oleh: Zahir Senapiah

KOTA TINGGI : Jabatan Imigresen (JIM) Johor menahan 207 pekerja asing termasuk seorang wanita dalam satu serbuan di sebuah penempatan sementara, di Pengerang, awal pagi tadi.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang dipercayai melindungi pendatang terbabit.

Operasi bermula jam 12.30 tengah malam tadi disertai 170 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Johor, 8 anggota polis dan masing-masing 4 anggota angkatan  pertahanan awam (APM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diketuai ketua Timbalan Penolong Pengarah JIM Johor, Gajendra Bahadur.

Ia susulan aduan yang diterima daripada penduduk setempat yang bimbang dengan kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.

Dalam operasi berkenaan seramai 646 pekerja asing warga Bangladesh dan Indonesia diperiksa.

Daripada jumlah itu, 203 lelaki warga Bangladesh dan empat warga Indonesia dicekup atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak mempunyai pas pekerja yang sah selain permit tamat tempoh.

Beberapa pekerja asing bertindak melarikan diri dengan memanjat keluar pagar penempatan sementara berkenaan hingga ada diantaranya mengalami cedera ringan.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat JIM Johor kompleks Kementerian Dalam Negeri K-D-N, Setia Tropika Johor Bahru untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Loading...
Terkini