SEPANG: Tindakan seorang lelaki menampar isterinya membawa padah selepas tindakannya itu secara tidak sengaja dirakam dalam satu video ‘live’ di media sosial.
Polis mengesahkan sedang mengesan individu terbabit dalam satu video tular berkenaan yang dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di sekitar Kota Warisan, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada adik kepada wanita yang ditampar dalam video berkenaan.
“Pengadu adalah adik kepada mangsa yang mengesahkan bahawa mangsa yang dipukul adalah kakak kandungnya berusia 35 tahun.
“Manakala, lelaki yang memukul mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang juga suami kepada wanita itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis sedang dalam proses merakam keterangan saksi berkenaan kejadian itu dan pada masa sama giat mengesan keberadaan suspek dan mangsa.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mahafiz Mat Lawi di talian 010-2396533,” katanya.
Terdahulu satu rakaman video ‘live’ berdurasi 29 saat tular memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah terbabit sambil memegang plastik di tangan kirinya.
Setibanya di pintu keluar premis terbabit, wanita itu tiba-tiba berhenti sejurus melihat kehadiran suspek yang bertopi dan berjalan ke arahnya, sambil memegang tangan seorang kanak-kanak.
Secara tiba-tiba, lelaki berkenaan menampar muka wanita itu di khalayak ramai sambil mengatakan sesuatu ke arah mangsa, lalu tanpa banyak soal wanita itu dilihat keluar dari premis terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.