KUALA LUMPUR: Lelaki yang menampar isterinya di pusat beli belah sekitar Kota Warisan, di sini yang mana video kejadian itu tular di media sosial, ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan suspek ditahan jam 10 pagi tadi di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan.
“Suspek sudah ditangkap jam 10 pagi tadi… suspek akan ditahan reman esok (Ahad),” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Penahanan dilakukan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 29 saat memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah sambil memegang bungkusan plastik, sebelum seorang lelaki menghampiri dan menamparnya di khalayak ramai.
Media sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki menampar isterinya membawa padah selepas kejadian itu secara tidak sengaja dirakam dalam satu video ‘live’ di media sosial.
Norhizam dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada adik kepada wanita yang ditampar dalam video berkenaan.
Terdahulu satu rakaman video ‘live’ berdurasi 29 saat tular memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah sambil memegang plastik pada tangan kirinya.
Setibanya di pintu keluar premis, wanita itu tiba-tiba berhenti sejurus melihat kehadiran suspek yang bertopi dan berjalan ke arahnya, sambil memegang tangan seorang kanak-kanak.
Secara tiba-tiba, lelaki berkenaan menampar wajah wanita itu di khalayak ramai sambil mengatakan sesuatu ke arah mangsa, lalu tanpa banyak soal wanita itu dilihat keluar dari premis terbabit.
Selepas kejadian itu lelaki terbabit membawa isteri dan anaknya tidur di Nilai, Negeri Sembilan sebelum menghantarnya pulang.
Suami mangsa bagaimanapun keluar semula dari rumah dan tidak pulang selepas itu dipercayai takut ditahan polis.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.