comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki sengaja menyebabkan kemalangan, akan didakwa Khamis ini

GEORGE TOWN: Lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian dengan sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya dengan niat mahu meminta wang sebagai ganti rugi akhirnya ditangkap polis.

Penganggur berusia 41 tahun itu ditahan jam 7.43 malam di Changkat Bukit Gambir 1, Gelugor di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid memaklumkan semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau iaitu lima membabitkan jenayah manakala lapan lagi berkaitan kes dadah.

“Kita sudah lengkapkan kertas siasatan serta serah kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi tindakan lanjut.

“Susulan itu, kita terima arahan bagi mendakwa suspek di mahkamah pada Khamis ini mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya.

Media Ahad lalu, melaporkan mengenai satu video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan sengaja mencetuskan kemalangan,

Lelaki ini bertindak melanggar sebuah kereta sebelum mendakwa kesalahan itu berpunca daripada pemilik kenderaan terbabit.

Penunggang motosikal itu dikatakan meminta ganti rugi antara RM20 hingga RM60 daripada pemilik kereta dengan alasan cermin sisinya patah akibat insiden berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini