ALOR SETAR: Seorang lelaki nyaris rentung apabila dia sempat diselamatkan orang awam selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandunya musnah terbakar di Jalan Latar, Kampung Bukit, Pokok Sena, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, pemandu kereta iaitu lelaki berusia 23 tahun yang beralamat di Baling itu mengalami luka di muka, tangan kiri dan kanan.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, Balai Polis Trafik Kota Setar menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8.15 pagi berkaitan kemalangan yang membabitkan sebuah kenderaan MPV Perodua Alza di lokasi kejadian.
Seorang lelaki nyaris rentung apabila dia sempat diselamatkan orang awam selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandunya musnah terbakar di Jalan Latar, Kampung Bukit, Pokok Sena, di Alor Setar, hari ini. pic.twitter.com/UZlUCJkjG9
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 24, 2024
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan mangsa dipercayai dari arah Pokok Sena menghala ke Kampung Bukit.
“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terbakar secara tiba-tiba.
“Bagaimanapun, pemandu Perodua Alza itu berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Syed Basri berkata, kes disiasat di bawah Kaedah 10 LN166/59 dan setakat ini mangsa masih lagi menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang dan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kereta Perodua Alza itu dipercayai milik ibunya.
“Kereta Perodua Alza itu musnah sepenuhnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.