JOHOR BAHRU: Keberanian seorang kontraktor menyelamatkan wanita yang dihanyutkan arus deras bersama kereta dipandu, selepas terbabas ke longkang berhampiran Jalan Bukit Samsu Jalan Kota Tinggi-Mersing pada 7 Januari lalu, mendapat penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor.
Choo Ngiam Choong, 50, menyifatkan penghargaan berkenaan sebagai satu pengiktirafan tidak ternilai.
“Semoga ia akan menjadi inspirasi kepada orang lain untuk membantu individu memerlukan,” katanya selepas menerima sijil penghargaan daripada Pengarah (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir, hari ini.
Tambahnya, dia tidak menyangka usaha menyelamatkan wanita yang dihanyutkan arus deras bersama kereta dipandu itu menjadi tumpuan ramai.
Sejak insiden berkenaan, dia bukan saja tular di media sosial, malah tindakan beraninya juga menarik perhatian media negara jiran yang turut berkongsi kejadian itu.
Katanya, kehidupannya juga bertambah ceria kerana dapat berkenalan dengan ramai rakan baharu berbilang bangsa.
“Saya memang biasa berurusan berkaitan perniagaan di Kota Tinggi, ada saja individu yang tidak dikenali menyapa saya dan bertanya khabar selain memuji tindakan saya.
“Saya gembira kerana sekurang-kurangnya, tindakan saya itu boleh dijadikan inspirasi,” katanya ditemui pada Majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor 2024 di Ibu Pejabat JBPM negeri, hari ini.
Baru-baru ini, Choo juga menerima sijil penghargaan daripada JBPM Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor.
“Saya berpengalaman menjadi sukarelawan banjir sejak tiga tahun lalu dan saya akan terus membantu individu memerlukan,” katanya.
kuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.