comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki rosakkan lampu isyarat ditahan polis

Gambar daripada video tular menunjukkan seorang lelaki merosakkan lampu isyarat di persimpangan Jalan Kampung Arab, Port Dickson.

PORT DICKSON: Seorang lelaki disyaki merosakkan lampu isyarat dari Kampung Arab, Shell Gate menghala ke Kampung Gelam di sini, ditahan polis petang semalam.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi 33 saat daripada Facebook Port Dickson Area (official) yang memaparkan tindakan lelaki itu pada kira-kira jam 2.15 petang semalam sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, pihak polis menyedari video tular dalam media sosial itu pada kira-kira jam 3.35 petang.

“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 2.15 petang di sebuah persimpangan lampu isyarat dari Kampung Arab, Shell Gate menghala ke Kampung Gelam, Port Dickson.

“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menahan suspek dalam video tular itu pada kira-kira jam 4.45 petang semalam, di sebuah pondok berdekatan Pantai Seaview Port Dickson,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek berusia 39 tahun itu tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau kesalahan jenayah.

“Polis turut merampas senjata, kenderaan dan pakaian digunakan ketika kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata berbahaya (ABKLSB) 1958,” katanya.

Maslan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majisteret Port Dickson untuk proses tahanan reman esok.

“Pihak polis menasihati orang awam supaya tidak menviralkan isu ini yang mana boleh mendatangkan kegusaran terhadap orang awam yang lain,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini