JOHOR BAHRU: Berang kerana tidak diberi laluan untuk menukar lorong, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila merosakkan sebuah kereta milik seorang wanita warga Taiwan di Jalan Pantai di sini, Sabtu lalu.
Kejadian itu tular di media sosial selepas polis mengesan video memaparkan perbuatan khianat lelaki terbabit di X, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu berlaku 1.53 pagi pada Sabtu lalu.
Katanya, laporan polis juga dibuat mangsa berumur 35 tahun yang melaporkan keretanya telah dikhianat oleh suspek di Jalan Pantai di sini.
“Kereta mangsa mengalami kerosakan pada pintu hadapan, bonet hadapan, bumbung, cermin sisi dan cermin hadapan.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian berlaku disebabkan suspek tidak puas hati terhadap mangsa yang enggan memberi laluan untuknya menukar lorong,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Raub, suspek lelaki berusia 38 tahun itu ditangkap di kawasan Bukit Senyum, di sini, Isnin lalu.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Bagaimanapun, hasil ujian air kencing terhadap suspek menunjukkan dia negatif dadah.
“Suspek kini direman selama enam hari bermula 24 hingga 29 Disember depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.