PUCHONG : Seorang lelaki ditemui rentung selepas rumahnya di Kampung Seri Puchong di sini terbakar awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.30 pagi.
Menurut beliau dalam satu kenyataan, sepasukan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP Puchong, BBP Cyberjaya dan BBP Seksyen 7 dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba pihaknya mendapati sebuah rumah di atas tanah lot terbakar dan operasi pemadaman segera digerakkan sebelum api berjaya dikawal pada 3.11 pagi.
Pemeriksaan kemudian menemui mayat lelaki berusia 37 tahun yang rentung dalam kejadian itu.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.